Pasaran keselamatan siber global adalah industri yang pesat berkembang. Ia dijangka mencapai jumlah keseluruhan pasaran sebanyak ASD400.2 bilion menjelang 2030, dan dijangka meningkat pada kadar CAGR 9.4% di antara tahun 2020 hingga 2030, dengan komponen perkhidmatan mengalami pertumbuhan pada kadar CAGR 11.2% dalam jangka waktu yang sama.

Sama seperti trend global dan serantau, pasaran keselamatan siber di Malaysia telah berkembang dengan pesat. Nilai keseluruhan pasaran perkhidmatan keselamatan siber Malaysia pada tahun 2021 adalah dianggarkan pada ASD632.6 juta. Pada era ekonomi digital ini, keselamatan siber memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran pembangunan negara yang mempunyai kelebihan daya saing.

Memandangkan operasi perniagaan dan data melalui fasa pendigitalan, ramai pengusaha tempatan telah mengenal pasti akses dan peluang untuk berkembang di dalam sektor ini, maka terdapat beberapa syarikat Bumiputera yang telah menceburkan diri dalam pasaran. Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan pengusaha Bumiputera bermula daripada memberikan khidmat rundingan keselamatan siber dan pembangunan teknologi melalui platform unik dan tersendiri, sehingga mewujudkan Pusat Pembangunan Keselamatan Rangkaian. Menyedari hakikat kepentingan perkembangan sektor ini, institusi seperti Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, sebuah Agensi pembangunan modal insan Bumiputera, menawarkan program khusus dalam teknologi, yang merangkumi keselamatan siber.


Kes Untuk Intervensi

Peningkatan Jenayah Siber

Keperluan kepada keselamatan siber di Malaysia kini semakin meningkat berikutan wujudnya isu-isu jenayah siber yang dihadapi. Anggaran kerugian akibat jenayah siber adalah berjumlah RM896 juta di antara tahun 2018 dan tahun 2019. Tahap risiko sedia ada, jenis ancaman yang wujud, serta peningkatan serangan siber telah menimbulkan keperluan untuk menangani masalah keselamatan siber pada tahap yang lebih holistik.


Saranan Dan Strategi Utama

Saranan #1

Meningkatkan Penglibatan Bumiputera di dalam Segmen Perkhidmatan Keselamatan Siber

Segmen perkhidmatan keselamatan siber menunjukkan potensi pertumbuhan tinggi bagi tempoh 2020-2030. Ini memberi peluang kepada Bumiputera untuk mengembangkan keupayaan mereka dan mengambil bahagian di dalam pekerjaan berkemahiran tinggi yang dijangka mempunyai permintaan berterusan berikutan penggunaan aplikasi digital yang semakin meningkat. Oleh itu, satu program bantuan dasar khusus untuk Bumiputera dapat dibentuk bagi sektor perkhidmatan keselamatan siber ini.