Usaha memperkukuh dan memperkasa modal insan Bumiputera adalah salah satu daripada tujuh (7) Bidang Keutamaan (PA) di bawah Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang sejajar dengan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dengan matlamat untuk meningkatkan taraf sosioekonomi Bumiputera. Tema utama Bidang Keutamaan 3 (PA3) adalah membina kemampuan tenaga kerja Malaysia terutamanya bakat Bumiputera melalui program pembangunan modal insan di setiap peringkat. TPB2030 melalui 10 inisiatif di bawah 3 tema akan menggunakan pendekatan pelbagai peringkat bagi meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera.

Faktor utama untuk memperoleh keberhasilan daripada inisiatif ini adalah penyertaan pemain industri serta penyediaan pendidikan dan latihan kemahiran yang berkualiti. Penyertaan pemain industri adalah penting demi mencapai hasrat untuk meningkatkan penyertaan lebih 780,000 pekerja Bumiputera berkemahiran tinggi di dalam bidang pekerjaan. Kerjasama dengan pemain industri akan membuka peluang kepada graduan berkelayakan tinggi hasil daripada inisiatif ini untuk diserap masuk ke dalam bidang pekerjaan.

Pemain industri akan memainkan peranan penting dalam memberikan bimbingan kerjaya dan penempatan pekerjaan untuk pelatih. Bimbingan kerjaya daripada mentor berpengalaman dalam industri akan mempengaruhi keupayaan tenaga kerja Bumiputera dalam pasaran kerja. Di samping itu, kerjasama dengan industri akan membuka peluang penempatan pekerjaan untuk graduan seterusnya meningkatkan kadar penembusan Bumiputera ke dalam tenaga kerja.

Akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran juga penting kepada pembangunan modal insan Bumiputera. Selain itu, capaian sukatan pelajaran program pembangunan serta bahan latihan harus sentiasa sesuai dengan permintaan pasaran semasa untuk menghasilkan bakat Bumiputera yang selari dengan kehendak pasaran kerja semasa.

Bagi mendapatkan hasil yang disasarkan, 3 tema yang telah dikenal pasti bagi menyokong PA 3 ini ialah meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam kerjaya berkemahiran tinggi, meningkatkan kualiti dan capaian pendidikan serta memperhebat kebolehpasaran modal insan Bumiputera.