Intervensi yang bersasar merupakan sebahagian daripada usaha membangunkan PKS Bumiputera yang berpotensi tinggi. Ia penting bagi mengatasi masalah pembiayaan bagi tujuan pengembangan, penggabungan dan pengambilalihan (M&A), dan memudah cara PKS ke pasaran baharu yang akan membantu meningkatkan daya saing PKS Bumiputera.

Untuk meningkatkan pendapatan PKS Bumiputera, peluang pemangkin boleh ditawarkan oleh Kerajaan, GLC dan GLIC dalam bentuk kontrak perolehan, penjualan dan kegiatan penyumberan luar. Pintu masuk pasaran baharu oleh PKS Bumiputera juga dapat dipermudahkan melalui kepelbagaian aliran pendapatan, terutamanya melalui perdagangan dan eksport. Ini juga dapat mengurangkan kebergantungan PKS Bumiputera kepada Kerajaan. Antara bentuk intervensi lain yang dapat meningkatkan trend pertumbuhan PKS Bumiputera termasuk penggabungan dan pengambilalihan serta pemberian geran pembiayaan untuk usaha pembangunan atau pengembangan perniagaan teknologi baharu.

Kejayaan penyenaraian awam di Amerika Syarikat (AS) oleh salah sebuah syarikat pemula paling berharga di Asia Tenggara, Grab Holdings Inc., boleh dijadikan panduan. Ia adalah unikorn teknologi pertama di Asia Tenggara yang disenaraikan secara terbuka melalui pemerolehan tujuan khas (SPAC), yang membolehkannya terus berkembang merentasi rantau. Contoh kejayaan lain adalah Hibiscus Petroleum Berhad yang baru-baru ini memperoleh keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Fortuna International Petroleum Corporation (FIPC) dengan bayaran tunai berjumlah ASD212.5 juta yang membolehkannya memperluas pengeluarannya. Carsome Sdn. Bhd., yang berpusat di Kuala Lumpur, melaksanakan pusingan pendanaan pra-IPO kerana syarikat ini mempertimbangkan penyenaraian awam di AS melalui SPAC.

Dua (2) tema yang dikenal pasti bagi menyokong PA7 adalah merangsang pertumbuhan pesat syarikat pemula dan meningkatkan pertumbuhan dan nilai PKS Bumiputera. Menerusi lima (5) inisiatif yang dibangunkan untuk penyelarasan bersama matlamat WKB2030 dan RMKe-12, kemampanan peningkatan ekuiti serta penambahbaikan berterusan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera akan dapat dicapai.