1. Apakah itu TPB2030?

Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) bukanlah satu dana tetapi merupakan satu pelan hala tuju 10 tahun di mana ia adalah kesinambungan daripada dasar dan rancangan Bumiputera terdahulu yang bertujuan memperkasa ekonomi Bumiputera bagi memastikan kelestarian dan kesaksamaan, sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) agar tidak ada Bumiputera yang ketinggalan. TPB2030 juga mengambil kira keadaan semasa, termasuk kesan pandemik serta jangkaan keadaan yang akan berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang.

2. Apakah sasaran TPB2030?

TPB2030 telah mengenal pasti beberapa sasaran awal yang dikenalpasti dari WKB2030 dan RMKe-12 (2025) untuk meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera iaitu:

Sasaran awal dibawah WKB2030

i. Sumbangan Lebihan Operasi Kasar (GOS) perusahaan Bumiputera sebanyak 20% kepada GDP: RM680 bilion
ii. Nisbah penengah gaji upah mengikut etnik (B:C:1 = 1:1:1): RM5,169.12
iii. Nisbah penengah pendapatan isi rumah mengikut etnik (B:C:I = 0.9:1:1):RM18,402.68
iv. Nisbah kadar pulangan aset kewangan per kapita mengikut etnik (B:C= 0.6:1): RM4,495.65

Sasaran dibawah RMKe-12 (2025)
i. Bumiputera dalam pekerjaan mahir: 3,248,920
ii. Pemilikan kediaman Bumiputera: 4,758,469

3. Apakah komponen TPB2030?

TPB2030 dibangunkan bagi memastikan strategi kepada Bumiputera yang digariskan dalam WKB2030 dapat dilaksanakan dengan penglibatan bersama pemain utama industri dengan memberi fokus kepada 7 Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang disokong oleh 7 bidang keutamaan. Di samping itu, bagi memastikan agar pemerkasaan Bumiputera dipacu sehingga peringkat global, TPB2030 akan turut meneroka potensi bidang bernilai tambah tinggi, Bidang Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETA), seperti Pembinaan Moden, Aeroangkasa dan Industri Pertahanan & Keselamatan.

4. Apakah senarai penuh KEGA, Bidang Keutamaan dan BETA?

KEGA

  1. Pertanian dan Komoditi
    • 29 Program Pembangunan
    • Sumbangan GOS: RM25.1 bilion
    • Pekerjaan Langsung: 11,156
    • Jumlah Pelaburan: RM15.59 bilion
  2. Ekonomi Digital
    • 30 Program Pembangunan
    • Sumbangan GOS: RM65.2 bilion
    • Pekerjaan Langsung: 214,413
    • Jumlah Pelaburan: RM12.83 bilion
  3. Hab Halal dan Makanan
    • 11 Program Pembangunan
    • Sumbangan GOS: RM11.80 bilion
    • Pekerjaan Langsung: 10,924
    • Jumlah Pelaburan: RM1.15 bilion
  4. Hab Kewangan Islam
    • 6 Program Pembangunan
    • Sumbangan GOS: RM17.6 bilion
    • Pekerjaan Langsung: 11,257
    • Jumlah Pelaburan: RM10.72 bilion
  5. Logistik, Pengangkutan dan Mobititi Lestari
    • 11 Program Pembangunan
    • Sumbangan GOS: RM15.9 bilion
    • Pekerjaan Langsung: 5,883
    • Jumlah Pelaburan: RM31.88 bilion
  6. Pembuatan
    • 10 Program Pembangunan
    • Sumbangan GOS: RM29.6 bilion
    • Pekerjaan Langsung: 145,225
    • Jumlah Pelaburan: RM19.08 bilion
  7. Pelancongan
    • 9 Program Pembangunan
    • Sumbangan GOS: RM36.5 bilion
    • Pekerjaan Langsung: 8,367
    • Jumlah Pelaburan: RM10.00 bilion

Bidang Keutamaan

  1. Mempercepat Pembangunan Sosioekonomi Bumiputera
    • 1 Inisiatif
    • Jumlah Pelaburan: RM23.1 juta
  2. Menambah Baik Tadbir Urus dan Memperkukuh Penyampaian Perkhidmatan
    • 9 Inisiatif
    • Jumlah Pelaburan: RM70.11 juta
  3. Memperkukuh Pendidikan dan Memperkasa Modal Insan
    • 10 Inisiatif
    • Jumlah Pelaburan: RM321.8 juta
  4. Meningkatkan Daya Tahan dan Kemampanan Perniagaan Bumiputera
    • 4 Inisiatif
    • Jumlah Pelaburan: RM127 juta
  5. Meningkatkan Penciptaan Kekayaan Bumiputera
    • 3 Inisiatif
    • Jumlah Pelaburan: RM34 juta
  6. Memanfaatkan Sepenuhnya Tanah Rizab Melayu dan Instrumen Wakaf
    • 4 Inisiatif
    • Jumlah Pelaburan: RM2,832 juta
  7. Memastikan Pemilikan Ekuiti Korporat yang Mampan
    • 5 Inisiatif
    • Jumlah Pelaburan: RM1,790 juta

BETA

  1. Industri Pertahanan dan Keselamatan
    • 4 Saranan
  2. Pembinaan Moden: IBS
    • 7 Saranan
  3. Aeroangkasa
    • 3 Saranan

5. Adakah terdapat program pembangunan atau inisiatif yang telah dikenalpasti di bawah TPB2030 yang akan menyumbang kepada 6 sasaran awal TPB2030?

TERAJU mengadakan satu siri libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan melibatkan 694 peserta selama empat (4) bulan untuk mengenal pasti program pembangunan dan inisiatif untuk mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah TPB2030. Ia berhasil mengenal pasti 142 program pembangunan dan inisiatif untuk memacu pembangunan sosioekonomi Bumiputera dengan sumbangan lebihan kendalian kasar (GOS) berjumlah RM201.5 bilion pada 2030 dan mencipta 406,995 pekerjaan. Pembiayaan berjumlah RM106.47 bilion daripada sektor awam dan swasta akan disuntik ke dalam projek rintis dan inisiatif yang dikenal pasti untuk mencapai sasaran akhir KEGA & PA

6. Berapakan jumlah peruntukan dana awam dan swasta yang diperlukan bagi menjayakan TPB2030 dalam tempoh sepuluh tahun akan datang?

Dana Awam = RM14.742 bilion (13.8%)
Dana Swasta = RM 91.716 bilion (86.2%)

7. Mekanisma Pelaksanaan

Pelaksanaan program-program pembangunan serta inisiatif di dalam TPB2030 akan dijayakan melalui kerjasama oleh sektor swasta (90%) dan Kerajaan (10%). Syarikat swasta yang berminat menjadi pemain dalam TPB2030 perlu mempunyai modal kerja serta pelan perniagaan yang kukuh dan berdaya-saing tanpa perlu bergantung kepada suntikan modal dari Kerajaan.

8. Struktur Pelaporan

Bagi memastikan semua objektif TPB2030 dicapai, Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) telah ditubuhkan pada Januari 2021 untuk menetapkan hala tuju serta menyelia kemajuan keseluruhan pembangunan sosioekonomi Bumiputera di negara ini. TERAJU, selaku agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dipertanggungjawab oleh MKB sebagai penyelaras utama TPB2030, menyelia dan memastikan semua sasaran Agenda Bumiputera di bawah RMKe-12 dan WKB2030 dipenuhi. Selain itu, TERAJU akan memastikan kelancaran pemudahcaraan berpusat projek dan inisiatif di bawah TPB2030 dan penyelarasan program Bumiputera serta integrasi pangkalan data Bumiputera. Ia juga akan bertindak sebagai sekretariat Jawatankuasa Pemandu MKB (JPMKB), Jawatankuasa Kerja MKB (JKMKB) dan Jawatankuasa Khas GLC & GLIC (JKHAS) yang akan melapor kemajuan dan menyediakan cadangan kepada MKB. Program pembangunan dan inisiatif akan dipantau oleh satu unit Khas Bumiputera di peringkat Kementerian iaitu Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) mengguna pakai sistem pengurusan prestasi yang rapi.

9. Pemantauan

TERAJU akan memantau keberhasilan program dengan menggunakan pendekatan atas ke bawah (top-down approach). Dengan menggunakan kerangka Petunjuk Prestasi Utama (KPI) TPB2030, TERAJU akan mampu menjejak perkembangan dan pencapaian semasa KPI. Hasil pemantauan akan digunakan untuk makluman dan penyelarasan usaha penyelesaian masalah dalam kalangan pihak berkepentingan dan pemilik projek. UPAB akan melaksanakan pemantauan projek dan inisiatif melalui pendekatan bawah ke atas (bottom-up approach).