Usaha-usaha untuk menambah baik tadbir urus dan memperkukuhkan penyampaian Perkhidmatan akan ditingkatkan menerusi strategi utama di dalam Bidang Keutamaan 2 (PA2) untuk memastikan kejayaan agenda Bumiputera. PA2 akan memberi fokus kepada pembangunan dan pengoperasian pangkalan data berpusat – Analitik Data Raya Bumiputera (BBDA). Petunjuk Prestasi Utama (KPI) juga akan dilaksanakan melalui pelaksanaan kad skor Bumiputera di peringkat Kerajaan Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan serta organisasi pembangunan usahawan (EDO) dan Syarikat Milik Kerajaan (SOE). Sektor swasta juga akan digalakkan untuk menggunakan kad skor ini.

PA2 juga akan memberi fokus kepada penyediaan peluang yang sama rata kepada perniagaan Bumiputera bagi mewujudkan ekosistem berdaya saing. Peluasan akta sedia ada akan dipertimbangkan untuk mengelakkan amalan yang bercanggah bagi meningkatkan status sosioekonomi dan mengurangkan jurang antara kaum. PA2 dijangka akan menambah baik mekanisme penyampaian perkhidmatan dan usaha sama pembangunan Bumiputera untuk memperoleh keberhasilan yang digariskan dalam agenda Bumiputera.