Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan rancangan ekonomi telah membawa banyak kemajuan kepada ekonomi negara.

Keperluan untuk menangani isu ketidakseimbangan semasa dalam penglibatan ekonomi dan penciptaan kekayaan. Beberapa cabaran masih dihadapi oleh komuniti Bumiputera, termasuk kesenjangan pendapatan yang melebar, pemilikan ekuiti korporat yang rendah, kekurangan penglibatan bakat keusahawanan dan kelemahan daya saing perniagaan Bumiputera.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kesenjangan pendapatan penengah bulanan isi rumah antara Bumiputera dan bukan Bumiputera masih besar. Misalnya, ketidaksamaan pendapatan penengah bulanan isi rumah antara kaum Bumiputera dan kaum Cina meningkat hampir empat kali ganda daripada RM497 pada tahun 1989 kepada RM1,971 pada tahun 2019. Jurang pendapatan ini tidak hanya wujud dalam kalangan etnik, tetapi juga ketara pada peringkat negeri. Analisis peringkat negeri menunjukkan Bumiputera membentuk majoriti terbesar dalam kumpulan isi rumah berpendapatan B40.01 Lebih daripada 50% isi rumah di negeri seperti Kelantan, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak tergolong dalam kategori B40.

Pada peringkat nasional, Bumiputera membentuk peratusan tertinggi isi rumah dengan pendapatan bulanan antara RM2,000 – RM3,000 dan peratusan terendah untuk pendapatan bulanan lebih daripada RM20,000. Dalam aspek pemilikan ekuiti pula, Bumiputera jauh ketinggalan di belakang bukan Bumiputera dan warga asing sejak 50 tahun lalu dan tidak mencapai sasaran 30% pemilikan ekuiti ditetapkan DEB. Sejak dekad lepas, pemilikan ekuiti Bumiputera jatuh menurun daripada 22% (2008) kepada 16% (2015), berbanding pemilikan asing yang meningkat daripada 38% kepada 45% dalam tempoh yang sama.

Berdasarkan data daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), urus niaga aset bukan kewangan Bumiputera hanya mewakili 33% daripada jumlah keseluruhan urus niaga aset bukan kewangan pada 2018 untuk pasaran utama dan sekunder, dengan penumpuan tertinggi dalam kategori harta tanah kediaman. Dalam aspek harta tanah komersial, pasaran melibatkan Bumiputera hanya menyumbang 12% kepada keseluruhan urus niaga pasaran komersial dan 6% urus niaga pasaran industri. Dalam komitmen berterusan Kerajaan untuk menangani cabaran dihadapi masyarakat Bumiputera, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memulakan pendekatan rundingan bagi tujuan membangunkan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030). TPB2030 adalah hala tuju 10 tahun yang menggariskan strategi jelas melalui projek terperinci serta inisiatif yang boleh memperlihat kesan signifikan yang bermakna kepada Bumiputera. Tujuh (7) Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA), tiga (3) Bidang Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETA) dan tujuh (7) Bidang Keutamaan (PA), telah dikenal pasti untuk mencapai sasaran dan matlamat agenda Bumiputera di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Pelaksanaan TPB2030 akan merentasi dua (2) tempoh pelaksanaan rancangan pembangunan negara: RMKe-12 dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).

KEGA diilhamkan menerusi WKB2030 dengan potensi untuk memangkin peluasan pembangunan ekonomi masa hadapan. Penggerakan sektor ini membolehkan usaha Kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi terlaksana sepanjang TPB2030 sebagai inisiatif berpusat, seterusnya membangunkan pengukuhan kedudukan Bumiputera menerusi rantaian bekalan industri yang terlibat. TPB2030 meneruskan usaha dasar dan pelan Bumiputera terdahulu yang bermatlamatkan pemerkasaan kemampanan dan ekuiti ekonomi Bumiputera, selaras dengan WKB2030 supaya tiada Bumiputera yang ketinggalan dalam pembangunan negara. Pada tahun 2020, TERAJU mengadakan satu siri sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan melibatkan 694 peserta selama empat (4) bulan untuk mengenal pasti projek rintis dan inisiatif untuk mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah TPB2030. Ia berhasil mengenal pasti 142 program pembangunan untuk memacu pembangunan sosioekonomi Bumiputera dengan sumbangan Lebihan Kendalian Kasar (GOS) berjumlah RM253 bilion pada 2030 dan mencipta 603,910 pekerjaan. Pembiayaan berjumlah RM137.21 bilion daripada sektor awam dan swasta akan disuntik ke dalam projek rintis dan inisiatif yang dikenal pasti untuk mencapai sasaran akhir kesemua 7 PA.

Bagi memastikan semua objektif TPB2030 dicapai, Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) telah ditubuhkan pada Januari 2021 untuk menetapkan hala tuju serta menyelia kemajuan keseluruhan pembangunan sosioekonomi Bumiputera di negara ini. TERAJU, selaku Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dipertanggungjawab oleh MKB sebagai penyelaras utama TPB2030, menyelia dan memastikan semua sasaran agenda Bumiputera di bawah RMKe-12 dan WKB2030 dipenuhi. Selain itu, TERAJU akan memastikan kelancaran pemudahcaraan berpusat program pembangunan dan inisiatif di bawah TPB2030 dan penyelarasan program Bumiputera serta integrasi pangkalan data Bumiputera. Ia juga akan bertindak sebagai sekretariat Jawatankuasa Pemandu MKB (JPMKB), Jawatankuasa Kerja MKB (JKMKB) dan Jawatankuasa Khas Agenda Bumiputera Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) & Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang akan melapor kemajuan dan menyediakan cadangan kepada MKB. Pemantauan program pembangunan dan inisiatif di peringkat Kementerian dan Agensi akan dilakukan oleh Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB)/Bahagian Kemakmuran Bumiputera (BKB) mengguna pakai sistem pengurusan prestasi yang rapi.

TERAJU akan memantau hasil akhir dengan menggunakan pendekatan atas ke bawah (top-down approach). Dengan menggunakan kerangka Petunjuk Prestasi Utama (KPI) TPB2030, TERAJU akan mampu menjejak perkembangan dan pencapaian semasa KPI. Hasil pemantauan akan digunakan untuk makluman dan penyelarasan usaha penyelesaian masalah dalam kalangan pihak berkepentingan dan pemilik projek. UPAB/BKB akan melaksanakan pemantauan projek dan inisiatif melalui pendekatan bawah ke atas (bottom-up approach). Dengan menggunakan Pelan Pelaksanaan Projek dan Inisiatif, UPAB/BKB akan membantu pelaksana untuk menggerakkan projek dan inisiatif mereka dengan pematuhan kepada tempoh masa yang dipersetujui, butiran pelan pelaksanaan, dan semua KPI. Ini akan membolehkan UPAB/BKB untuk menilai perkembangan setiap program pembangunan atau inisiatif seterusnya menawarkan sokongan sewajarnya kepada rakan pelaksana.

Dengan penetapan garis panduan yang jelas kepada projek dan inisiatif serta keteguhan pelaksanaan dan mekanisme pengurusan prestasi, TPB2030 akan menjadi pemangkin perubahan status sosioekonomi Bumiputera.