Permulaan dekad baharu menyaksikan dunia berdepan cabaran terbesar dalam sejarah moden - pandemik COVID-19.

Usaha untuk mengekang penularan pandemik mengheret industri ke dalam ketidaktentuan dan mencetuskan halangan dalam perkembangan sosioekonomi Malaysia, tidak terkecuali komuniti Bumiputera. TPB2030 adalah hala tuju mengemudi negara untuk keluar daripada persekitaran semasa sosioekonomi dan menjadi langkah proaktif bagi melindungi Malaysia daripada cabaran dan halangan yang mungkin berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang.


TPB2030 dibentuk untuk melengkapi WKB2030, dalam usaha menjajarkan penglibatan ekonomi Bumiputera bagi mencapai matlamat visi nasional. Ia adalah kesinambungan dasar Bumiputera terdahulu dan memusatkan matlamat utamanya kepada pengukuhan keseluruhan kebajikan sosioekonomi Bumiputera.

Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 1.0 (BETR 1.0) yang dilancarkan pada 2011 bertujuan menyampaikan dua (2) matlamat utama – untuk membentuk barisan bakat Bumiputera yang mempunyai keupayaan dan daya saing bagi memenuhi keperluan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada Malaysia yang berpendapatan tinggi; dan mengubah perniagaan milik Bumiputera daripada beroperasi dalam skala kecil dan tidak bersepadu, kepada syarikat yang kukuh dengan teras kemampuan dan daya saingnya untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 (BETR 2.0) yang telah dilancarkan pada 2017 seterusnya memperluas lagi BETR 1.0, dengan tumpuan kepada peningkatan pendapatan purata isi rumah Bumiputera. Ia memerlukan usaha bersepadu untuk mempersiapkan aspek permintaan dan bekalan pasaran tenaga kerja bagi menempatkan bakat berkemahiran tinggi Bumiputera ke dalam bidang kerjaya berpendapatan tinggi.

BETR 2.0 memusatkan program pembangunan dan inisiatifnya kepada peningkatkan penglibatan Bumiputera dalam sektor ekonomi yang berbeza. Ia juga bertindak sebagai usaha untuk memperluaskan skop Kementerian bagi mengukuhkan penyampaian perkhidmatan. Aspek pelengkap penting yang lain untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam ekonomi termasuklah penciptaan kekayaan, penggajian dalam industri bernilai tambah tinggi dan pembangunan bakat keusahawanan.

Bagi memangkin perubahan ini, Kerajaan telah memperkenalkan dasar Carve-Out & Compete, di mana sekurang-kurangnya 40% hingga 50% nilai kontrak, pembekal atau peluang perniagaan untuk program pembangunan berskala besar dianugerahkan kepada syarikat milik Bumiputera.

Berpandukan WKB2030, TPB2030 dibentukkan daripada kejayaan BETR 1.0 dan BETR 2.0 serta kesinambungan usaha Kerajaan dalam mempromosi agenda Bumiputera sejak lebih 50 tahun lalu di bawah DEB.


Sementelahan usaha WKB2030 ke arah pertumbuhan adil, saksama dan mampan untuk semua, status dan pemerkasaan Bumiputera terus diberi penekanan. WKB2030 mempertimbangkan semua situasi yang dihadapi Bumiputera dan menggariskan strategi utama untuk menambah baik kebajikan sosioekonomi Bumiputera.

Petunjuk Utama berikut mempertimbangkan kedudukan kebajikan sosioekonomi Bumiputera:


Pertumbuhan Kesenjangan Pendapatan Bulanan Isi Rumah

Antara tahun 1989 dan 2019, kesenjangan pendapatan isi rumah kumpulan T2002 dan B40 semakin meluas dalam tempoh 27 tahun disebabkan kepelbagaian pertumbuhan sosioekonomi. Pada 1989, jurang purata pendapatan bulanan antara kumpulan T20 dan B40 adalah RM1,935 berbanding RM12,135 pada 2019, peningkatan sebanyak 527%.03

Salah satu aspek kesenjangan pendapatan paling ketara dapat dilihat antara pendapatan isi rumah Bumiputera dan bukan Bumiputera lain – misalnya kaum Cina- yang meningkat secara berterusan dari semasa ke semasa. Menurut data yang dikeluarkan DOSM, ketidaksamaan purata pendapatan bulanan isi rumah antara Bumiputera dan kaum Cina meningkat daripada RM497 pada 1989 kepada RM1,971 pada 2019, peningkatan hampir empat kali ganda.

Statistik menunjukkan yang negeri dengan lebih ramai penduduk Bumiputera mempunyai peratusan kategori pendapatan B40 yang lebih tinggi. Negeri-negeri seperti Kelantan, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak mempunyai lebih daripada 50% isi rumah kategori B40. Ini boleh dilihat daripada tahap pelaburan dan pembangunan yang lebih rendah di negeri tersebut bertahun lamanya. Bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Putrajaya pula mengalami proses urbanisasi mendadak dengan tarikan penghijrahan dari kawasan lain.04


Perolehan Pendapatan Isi Rumah Terendah mengikut Kaum

Pada peringkat nasional, Bumiputera membentuk peratusan tertinggi isi rumah yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dan peratusan terendah untuk pendapatan lebih daripada RM20,000 sebulan.

Berdasarkan data daripada DOSM, peratusan isi rumah tertinggi adalah daripada kumpulan berpendapatan RM2,000 – RM3,999. Trend yang sama berlaku dalam kumpulan etnik yang lain tetapi ia lebih ketara dalam kalangan Bumiputera. Pada 2019, terdapat 27% isi rumah Bumiputera, 18% isi rumah Cina dan 24% isi rumah India yang terperangkap dalam kumpulan pendapatan RM2,000 hingga RM3,999.

Bagaimanapun, peratusan isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM6,000 untuk semua kumpulan etnik merekodkan penurunan dalam tempoh 2016 hingga 2019. Tetapi, pada 2019, kesemua tiga (3) kumpulan etnik mencatatkan peningkatan untuk kumpulan pendapatan RM20,000 dan ke atas. Isi rumah Cina merekodkan peratusan tertinggi kumpulan pendapatan lebih RM20,000 dengan 8.7%, diikuti oleh isi rumah India sebanyak 5.5% dan isi rumah Bumiputera dengan 3.3%.05

Dari sudut pandangan ekonomi, Bumiputera sangat bergantung kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk sumbangan ekonomi yang bermakna.

Pada 2014, GLC – yang majoritinya dikuasai Bumiputera – membentuk 46% sumbangan GOS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bagaimanapun, selepas penolakan sumbangan GLC, sumbangan sebenar GOS Bumiputera hanyalah 28%. Mengambil kira GOS korporat nasional sebanyak RM727 bilion, hanya RM81 bilion boleh dikaitkan dengan syarikat Bumiputera, seperti digambarkan dalam Jadual 6. Jurang nyata antara perusahaan Bumiputera dan bukan Bumiputera sangat ketara, seterusnya mencipta monopoli dan jurang ekonomi yang membimbangkan.

Menurut WKB2030, sasaran 30% pemilikan ekuiti korporat Bumiputera digariskan DEB masih belum tercapai. Ini terbukti dalam Laporan Pemilikan Ekuiti Korporat diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri yang mendedahkan tahap pemilikan ekuiti korporat Bumiputera hanyalah sebanyak 16.2% pada tahun 2015. Ini boleh dikaitkan dengan trend peningkatan pemilikan penamaan dan pemilikan asing, yang mana telah meningkat daripada 36.7% dan 3.5% pada 2008 kepada 45.3% dan 7.85% pada 2015.


Kemerosotan Pemilikan Ekuiti Korporat

Dalam isu pemilikan ekuiti korporat, Bumiputera ketinggalan di belakang bukan Bumiputera dan warga asing sejak 50 tahun lalu, dan tidak mencapai sasaran 30% pemilikan ekuiti ditetapkan DEB.

Tambahan lagi, sejak dekad lepas, pemilikan ekuiti Bumiputera telah mengalami kemerosotan mendadak daripada 22% (2008) kepada 16% (2015), jauh berbeza dengan pemilikan asing yang meningkat daripada 38% (2008) kepada 45% (2015), seperti digambarkan dalam Rajah 7.


Penurunan dalam pemilikan Aset Bukan Kewangan (kediaman, komersial, industri)

Urus niaga aset bukan kewangan Bumiputera masih kecil terutamanya dalam pasaran komersial dan industri. Berdasarkan data daripada NAPIC dalam Rajah 8, urus niaga aset bukan kewangan Bumiputera hanya mewakili 33% daripada keseluruhan urus niaga aset bukan kewangan pada 2018 untuk pasaran utama dan sekunder, dengan penumpuan tinggi dalam harta tanah kediaman.

Dalam harta tanah komersial, penglibatan menyumbang 12% daripada keseluruhan urus niaga pasaran komersial dan 6% urus niaga pasaran industri. Faktor-faktor yang menyumbang kepada urus niaga rendah Bumiputera antaranya liberalisasi Tanah Rizab Melayu (TRM), kekurangan perumahan mampu milik, dan tahap simpanan yang rendah yang menyekat kemampuan Bumiputera untuk membayar deposit yang diperlukan dalam memenuhi kelayakan mendapat pinjaman perumahan.

WKB2030 menggariskan strategi utama untuk mempertingkatkan kebajikan sosioekonomi Bumiputera berdasarkan Petunjuk Utama yang menggambarkan cabaran dihadapi Bumiputera.

Seperti ditunjukkan dalam Kotak Maklumat 10, RMKe-12 juga menggariskan strategi utama dalam pengurangan jurang dan memastikan pengagihan saksama hasil kekayaan, seiring dengan matlamat WKB2030.

TPB2030 menggariskan hala tuju untuk memandu usaha meningkatkan kebajikan sosioekonomi Bumiputera di sepanjang pelaksanaan RMKe-12 dan RMKe-13.


Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030)

Dalam sebahagian komitmen berterusan Kerajaan untuk menangani cabaran dihadapi oleh Bumiputera, TERAJU memulakan pendekatan rundingan untuk membangunkan TPB2030. Secara asasnya, TPB2030 adalah hala tuju 10 tahun yang menggariskan strategi jelas melalui program pembangunan dan inisiatif terperinci yang boleh menghasilkan impak bermanfaat kepada Bumiputera. Ia berpaksikan kepada tujuh (7) KEGA, tiga (3) BETA dan tujuh (7) PA. KEGA dan PA dipilih daripada WKB2030 dan RMKe-12 yang berpotensi untuk mempercepatkan peluasan pembangunan ekonomi masa hadapan. Dengan semua sektor ini digerakkan, usaha Kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi akan dapat dilaksanakan menerusi TPB2030 sebagai sebuah inisiatif berpusat, seterusnya mengukuhkan penglibatan Bumiputera di sepanjang rantaian bekalan industri terlibat.

Susulan proses yang digerakkan TPB2030, TERAJU akan menerajui pembangunan dan penyampaian program pembangunan yang dikenal pasti berada di dalam 7 KEGA, 3 BETA dan 7 PA terpilih, seperti ditunjukkan dalam Jadual 13. Kesemua kerja teras ini digerakkan untuk mengangkat status sosioekonomi Bumiputera secara keseluruhan, selaras dengan aspirasi WKB2030 dan RMKe-12.

Untuk menyokong program pembangunan rintis yang berada di dalam pelbagai KEGA, BETA pula dibangunkan untuk industri dan sektor sasaran di mana Bumiputera boleh melakukan sumbangan ekonomi lebih besar pada masa hadapan. Sektor berimpak tinggi ini secara relatifnya belum diterokai oleh Bumiputera. Cadangan yang dikenal pasti untuk BETA akan membolehkan syarikat Bumiputera memenuhi potensi industri dan menjadi perintis yang boleh mengurangkan sekatan kemasukan yang akan membolehkan bakat Bumiputera lain untuk terlibat di peringkat tertinggi rantaian bekalan pada masa hadapan.

Empat (4) sasaran daripada WKB2030 dan dua (2) sasaran daripada RMKe-12 diguna pakai untuk TPB2030.06


Bengkel Pelbagai Pihak Berkepentingan

Pembangunan TPB2030 bermula daripada pembangunan teras agenda Bumiputera di bawah RMKe-12 melibatkan pelbagai perbincangan kumpulan sasar melalui Kumpulan Perancangan Antara Agensi (IAPG), Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Kumpulan Sasar (FG) daripada 18 Kementerian dan 40 Agensi. Jawatankuasa meneliti isu struktur dan sistemik yang membelenggu komuniti Bumiputera terutamanya dalam bidang sumber manusia dan pendidikan, pemilikan ekuiti korporat, aset bukan kewangan, keusahawanan dan perniagaan dan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), rantaian bekalan dan pangkalan data Bumiputera, TRM dan nilai moral dan etika. Kesemua ini menjadi keutamaan yang dimasukkan ke dalam tujuh (7) teras di bawah Agenda Bumiputera dalam RMKe-12 yang menjadi kerangka untuk 7 PA di bawah TPB2030.

Susulan itu, TERAJU meletakkan keutamaan kepada 7 KEGA, 3 BETA dan 7 PA untuk mencapai sasaran dan matlamat dikenal pasti dalam WKB2030 dan RMKe-12. Pada Q4 2020, satu siri sesi libat urus pelbagai pihak dijalankan melibatkan 694 peserta selama empat (4) bulan. Matlamat bengkel adalah untuk mengenal pasti program pembangunan dan inisiatif utama yang akan mengangkat status sosioekonomi Bumiputera dengan pencapaian sasaran ditetapkan di bawah setiap KEGA, BETA dan PA,07 secara berkesan dan cekap. Daripada bengkel pelbagai pihak berkepentingan ini, 155 program pembangunan pemula dikenal pasti di bawah 7 KEGA yang akan menyumbang RM780.7 bilion GOS Bumiputera pada 2030, melepasi sasaran awal sebanyak RM680 bilion. Bagaimanapun, angka ini terus diperhalusi dan disahkan yang dikumpulkan dalam sasaran ditekankan di atas. Rajah 15 menunjukkan senarai Kementerian, Jabatan, Agensi dan Pemain Sektor Swasta yang terlibat dalam bengkel pelbagai pihak berkepentingan pada Q4 2020.

Sehubungan itu, usaha sama digerakkan dengan Kementerian, Jabatan dan Agensi telah dilaksanakan bermula 4 Mei 2021 hingga 9 Jun 2021 untuk penyelarasan pemilikan, KPI, belanjawan dan pelaksanaan projek dan inisiatif. Maklum balas daripada Kementerian, Jabatan dan Agensi direkod dan digunakan dalam memperhalusi lagi projek dan inisiatif di bawah TPB2030. Rajah 16 menunjukkan senarai Kementerian, Jabatan dan Agensi terlibat dalam usaha sama itu pada Mei dan Jun 2021.


Tinjauan Awam Penerima Manfaat

Susulan bengkel pelbagai pihak berkepentingan, satu tinjauan awam dilakukan bagi memastikan kata sepakat dan sudut pandang holistik dari pandangan penerima manfaat. Empat (4) kategori soalan, seperti ditunjukkan dalam Rajah 17 dibentuk untuk mengukur persepsi Bumiputera ke atas inisiatif sedia ada dan perancangan masa hadapan.

Dapatan tinjauan menunjukkan bahawa:

  • 97% responden merasakan TPB2030 akan menjadi titik rujukan penting untuk kemajuan kedudukan Bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan 98% responden mahukan pelan tindakan untuk pengukuhan bidang keutamaan Bumiputera dan sektor ekonomi.
  • Dalam menilai program campur tangan Bumiputera, 96% responden bersetuju yang inisiatif akan datang perlu meliputi kebajikan untuk semua kumpulan pendapatan (T20, M40 dan B40), dan 96% berpandangan yang campur tangan baharu perlu menggambarkan trend terbaru dalam perkembangan dan pembangunan teknologi dalam sektor ekonomi.
  • Dari sudut tadbir urus dan pelaksanaan, 94% responden merasakan perlunya sebuah Agensi penyelarasan pusat yang meneraju, menyelaras dan memantau pelaksanaan Agenda Bumiputera; dengan 93% responden menekankan keperluan penubuhan sebuah unit pemantauan Bumiputera dalam Kementerian, Agensi dan GLC yang berkaitan.
  • Dalam menilai kesan keseluruhan campur tangan sedia ada, 96% responden berpandangan yang tindakan afirmatif Bumiputera diperlukan untuk menangani ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum. Daripada perspektif pendapatan kelas, 93% melihat wujud keperluan untuk meneruskan tindakan afirmatif untuk Bumiputera pedalaman dalam usaha melindungi kebajikan sosial dan ekonomi mereka.


  • 02 B40 merujuk kepada kelompok 40% pendapatan terendah dengan pendapatan isi rumah di bawah RM4,849, M40 (Menengah 40) pula mempunyai pendapatan isi rumah antara RM4,850 dan RM10,959. T20 (Teratas 20%) mempunyai pendapatan isi rumah RM10,961 dan ke atas.
  • 03 Jabatan Perangkaan Malaysia
  • 04 Jabatan Perangkaan Malaysia, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030
  • 05 Jabatan Perangkaan Malaysia

  • 06 Sasaran ini diguna pakai secara langsung daripada WKB2030 dan RMKe-12 dan boleh berubah sepanjang pelaksanaan TPB2030. Sekiranya wujud perubahan, laporan tahunan TPB2030 akan menggambarkan sasaran dan perkembangan terkini bagi memastikan keselarasannya dengan pelan negara.
  • 07 Sasaran WKB2030 akan secara rasmi disemak semula dan dikeluarkan oleh EPU. Sasaran selanjutnya akan menjalani semakan dan pindaan semula semasa penilaian tengah penggal.