Industri aeroangkasa di Malaysia merupakan bidang besar yang meliputi dua sektor iaitu penerbangan komersial dan awam; dan angkasa. Pada tahun 1997, Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia dilancarkan. Sebagai pelan induk aeroangkasa pertama negara, ia menetapkan inisiatif perubahan untuk Malaysia menjadi negara dengan keupayaan aeroangkasa di peringkat rantau dan dunia menjelang tahun 2015. Enam (6) daripada 45 cadangan dikenal pasti sebagai inisiatif utama iaitu untuk penyediaan Kerangka Industri Aeroangkasa, penubuhan Majlis Aeroangkasa Malaysia, penubuhan Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia, penubuhan Badan Penyelaras Aeroangkasa Kebangsaan, Tinjauan Inventori Industri Aeroangkasa, dan Kajian Pembangunan Tenaga Manusia Industri Aeroangkasa. Sepanjang 17 tahun pelaksanaan pelan induk tersebut, 43 daripada 45 cadangan telah dijalankan.

Sepanjang tempoh itu, Majlis Aeroangkasa Malaysia telah memainkan peranan penting dalam mengemudi pertumbuhan sektor ini. Menjelang 2014, industri ini telah berkembang pesat dengan perolehan industri mencecah RM11.8 bilion berbanding RM900 juta pada 1998, dengan pertumbuhan CAGR sebanyak 17.45%.

Sejak itu, industri aeroangkasa telah dilibatkan merentasi kesemua pelan pembangunan ekonomi negara termasuklah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), Program Transformasi Ekonomi (ETP), dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa 2030. Penglibatan industri aeroangkasa di dalam pelan pembangunan ekonomi negara jelas menunjukkan kepentingan sektor ini kepada ekonomi Malaysia.

Industri aeroangkasa yang merupakan industri yang luas merangkumi aktiviti di atmosfera dan juga angkasa, telah dikenal pasti sebagai salah satu bidang transformasi ekonomi berpotensi tinggi di bawah TPB2030 kerana sektor ini memainkan peranan penting kepada ekonomi Malaysia. Industri ini telah menunjukkan pertumbuhan yang stabil selama bertahun-tahun, dan mempunyai kemampuan untuk berkembang dan menyumbang lebih jauh untuk Malaysia berikutan potensi bidang ini didalam menjana keuntungan adalah sangat memberansangkan. Untuk membuka potensi dan menyumbang lebih jauh ke dalam agenda Bumiputera di Malaysia, terdapat beberapa saranan dan strategi utama yang dapat diguna pakai untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera di dalam industri aeroangkasa.