Industri pembinaan memainkan peranan terpenting dalam ekonomi, termasuklah kepada industri lain dan masyarakat secara keseluruhannya. Jumlah perolehan tahunan global industri pembinaan hampir mencecah ASD10 trilion, dengan nilai tambah ASD3.6 trilion.

Selain itu, industri pembinaan memyumbang kira-kira 6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global. Sumbangan sektor ini telah dianggarkan pada 5% daripada jumlah KDNK di negara-negara maju, manakala ia menyumbang kira-kira 8% daripada KDNK di negara-negara membangun.

Apabila pandemik COVID-19 menjejaskan KDNK global, industri pembinaan juga terkesan disebabkan kerentanannya terhadap kitaran ekonomi. Bagaimanapun, industri ini juga memiliki potensi besar untuk merangsang pemulihan disebabkan keupayaannya untuk mencipta peluang pekerjaan. Walaupun terkesan dengan pandemik, industri pembinaan global dijangka mencecah nilai ASD10.5 trilion menjelang 2023, dan diramalkan untuk terus meningkat pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkompaun (CAGR) 4.2% dalam tempoh 2018- 2023. Disebabkan peningkatkan urbanisasi dan pertumbuhan penduduk dunia, sektor pembinaan kediaman dijangka akan terus kekal sebagai segmen terbesar industri.

Industri pembinaan telah dikenal pasti sebagai salah satu bidang transformasi Bumiputera yang berpotensi di bawah TPB2030 kerana industri ini merupakan salah satu penyumbang utama KDNK negara dan berpotensi untuk menyumbang lebih jauh dalam agenda Bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang. Kerajaan telah mengakui IBS sebagai penggerak utama untuk mengatasi masalah jangkauan dan kebergantungan pekerja asing dalam sektor perumahan serta pembinaan. Pada masa yang sama, IBS berpotensi memainkan peranan penting untuk meningkatkan akses kepada rumah kediaman yang berkualiti dengan harga yang lebih berpatutan, di samping memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera untuk mengukuhkan kedudukan dan peralihan mereka kepada segmen moden dan bernilai tinggi dalam industri pembinaan.