Pengangguran dan Pekerjaan Bergaji Rendah

Dalam mewujudkan komuniti Bumiputera yang berdaya tahan, salah satu cabaran yang perlu ditangani adalah kadar pengangguran Bumiputera yang tinggi. Bumiputera menyumbang kepada 64.5% daripada jumlah pengangguran di Malaysia, menjadikan Bumiputera sebagai kaum yang mempunyai pengangguran tertinggi di negara ini. Kadar pengangguran Bumiputera juga adalah lebih tinggi daripada purata nasional iaitu pada 3.7% (purata nasional: 3.3%). Kebanyakan Bumiputera yang menganggur berada dalam lingkungan umur 15 – 29 tahun. Selain itu, sektor pekerjaan turut menerima impak besar akibat pandemik COVID-19 dan sekiranya tidak diatasi, ia akan memberi kesan yang lebih buruk terutamanya kepada Bumiputera.

Sebahagian besar tenaga kerja Bumiputera bekerja dalam pekerjaan kurang berkemahiran dan bergaji rendah. Bilangan pekerja mahir Bumiputera adalah rendah berbanding dengan bilangan pekerja mahir bukan Bumiputera.


Sijil Tahfiz Sekolah Tidak Berdaftar Tidak Diiktiraf Secara Formal

Terdapat juga kumpulan Bumiputera yang mempunyai potensi signifikan namun bakat mereka tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Golongan ini adalah kira-kira 1,854 pelajar sekolah tahfiz yang tidak berdaftar dengan sistem pendidikan arus perdana akibat perbezaan dengan kurikulum kebangsaan. Pelajar yang lulus daripada sekolah tahfiz juga kekurangan kemahiran teknikal dan tidak mendapat pengiktirafan rasmi untuk kelayakan mereka, sekali gus membataskan peluang kerjaya.