Pembangunan Berpusat di Sekitar Negeri Maju

PKS Bumiputera secara khasnya tertumpu di sekitar negeri maju dengan ekonomi berkembang seperti Selangor, Johor, dan Pulau Pinang. PKS Bumiputera mempunyai ruang yang terhad untuk berkembang di kawasan lain kerana kurangnya pembangunan di wilayah tersebut. Namun, sekiranya projek pembangunan berlaku di peringkat negeri, kontrak biasanya diberikan kepada pemain industri yang telah lama bertapak dan berpengalaman sehingga menimbulkan halangan kepada PKS Bumiputera untuk menembusi ruang dan peluang ini.


Kekurangan Kapasiti dan Keupayaan untuk Bersaing

Penyertaan syarikat Bumiputera dalam rantaian bekalan sektor bernilai tambah tinggi adalah rendah berikutan kekurangan keupayaan dan kemampuan mereka untuk bersaing dengan syarikat bukan Bumiputera, syarikat multinasional (MNC), dan Syarikat Milik Kerajaan (SOE). Jurang antara syarikat Bumiputera dari aspek pengalaman, kepakaran, dan kemampuan sumber menghalangnya daripada bersaing dengan syarikat sedia ada untuk melaksanakan projek ini. Akses dan capaian terhad oleh perusahaan Bumiputera membataskan ia kepada industri bernilai tambah rendah. Situasi ini menunjukkan perlunya inisiatif strategik yang dapat membina nama, pengalaman, dan kredibiliti jenama syarikat Bumiputera agar mereka dapat menembusi sektor utama.