Penggarisarusan Ekosistem Pembangunan Keusahawanan Bumiputera


Inisiatif #1

Pusat Penyelarasan dan Pengurusan Pangkalan Data Ekosistem Keusahawanan Bumiputera oleh TERAJU

TERAJU, sebagai penyelaras utama TPB2030 akan menyokong pelaksanaan program keusahawanan Bumiputera merentas Kementerian dan Agensi. Ini akan memudah cara usaha penyelarasan semua program pembangunan keusahawanan Bumiputera.

RM13juta

Pembiayaan


Memacu Usahawan Bumiputera Ke Sektor Bernilai Tinggi


Inisiatif #2

Memudah Cara Usahawan Bumiputera untuk Meningkatkan Kedudukan Rantaian Nilai serta Menyertai Projek Negeri dan Koridor Ekonomi

TERAJU akan menjalankan kajian mendalam untuk 7 KEGA yang dikenal pasti untuk memberi pencerahan mengenai isu-isu, cabaran, dan peluang-peluang tertentu yang sesuai dengan kemampuan usahawan Bumiputera untuk menyertai rantaian bekalan bernilai tambah tinggi. Kekuatan usahawan Bumiputera akan dikenal pasti dan ditingkatkan untuk melengkapkan mereka dengan kecekapan yang diperlukan untuk kekal berdaya saing. Sepanjang proses ini, mekanisme pemantauan, pengesanan, dan intervensi yang mapan akan memastikan keberhasilan pelaksanaan program.

RM11.5juta

Pembiayaan


Inisiatif #3

Menubuhkan Hab Pemacu di Negeri Membangun

Hab pemacu akan ditubuhkan di negeri-negeri membangun untuk merangsang pertumbuhan syarikat Bumiputera di seluruh Malaysia. Fokus kepada negeri-negeri membangun adalah berikutan program pemacu syarikat pemula di Malaysia yang hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang. Dengan jangka masa latihan antara tiga (3) hingga 12 bulan ia menyukarkan penyertaan PKS dari negeri lain yang tidak dapat meninggalkan premis perniagaan mereka untuk tempoh yang panjang. Oleh itu, inisiatif program pemacu ini akan diperluaskan ke tujuh (7) negeri, merangkumi bandar-bandar besar seperti Ipoh, Melaka, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kuching, dan Kota Kinabalu.

RM100.5juta

Pembiayaan


Meningkatkan Penglibatan Menerusi Peluasan Dasar ‘Carve-Out And Compete’


Inisiatif #4

Peluasan Dasar ‘Carve-Out and Compete’ untuk Pelesenan dan Konsesi bagi Usahawan Bumiputera yang Layak

Perluasan Dasar ‘Carve-Out and Compete’ akan didasarkan pada enam (6) prinsip (mesra pasaran, berdasarkan keperluan, berdasarkan prestasi, telus, pro-pertumbuhan dan daya saing yang mampan) di dalam Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR1.0) dan bertujuan untuk membantu mengurangkan halangan masuk ke sektor strategik bagi syarikat Bumiputera. Rantaian bekalan sektor-sektor strategik ini biasanya dikendalikan dan dimonopoli oleh MNC dan syarikat bukan Bumiputera.

Usahawan Bumiputera tidak mempunyai keupayaan untuk bersaing dan tidak dapat memperoleh dana untuk pembangunan kapasiti. Perluasan dasar ini akan memudahkan jaringan dan kerjasama perniagaan untuk syarikat Bumiputera berpotensi tinggi melalui pertukaran pengetahuan mengenai maklumat pasaran domestik dan antarabangsa.

RM2juta

Pembiayaan