Ketiadaan Pangkalan Data Bumiputera

Sistem pelaporan dan pengurusan data untuk membuat analisis pada peringkat nasional sedia ada perlu mempunyai piawaian khas bagi merumus dasar serta strategi baharu yang diperlukan mengikut kehendak semasa. Kebanyakan Kementerian dan Agensi mengumpul data secara berasingan dan menyimpan maklumat yang hanya relevan kepada program dan keperluan Kementerian dan Agensi.


Kelemahan Penyelarasan dan Pemantauan

Terdapat kelemahan dalam penyelarasan dan pemantauan terhadap program dan pencapaian perusahaan Bumiputera dalam kalangan Kementerian dan Agensi Kerajaan. Walaupun KPI yang berasaskan Bumiputera telah dimasukkan ke dalam program-program Kementerian, kebanyakan KPI dan pelaksanaan sedia ada hanya berdasarkan kepada aktiviti dan bukan kepada keberhasilan, justeru tidak mencerminkan prestasi dan impak sebenar inisiatif Bumiputera di bawah bidang tugas Kementerian.


Peluang dan ruang yang tidak saksama kepada Pembekal Bumiputera

Di bawah mekanisme sistem perolehan awam semasa, kontraktor Bumiputera boleh mengagihkan komponen projek kepada subkontraktor. Ini bukan sahaja meningkatkan nilai harga projek bahkan turut membuka ruang dominasi oleh kartel tender tertentu serta mengurangkan peluang persaingan untuk syarikat Bumiputera yang lain. Sebagai contoh, dasar Kerajaan yang mendorong penyertaan Bumiputera dalam industri automotif telah dieksploitasi apabila lebih daripada 50% daripada 66,277 permit yang diluluskan dalam lesen import (AP) untuk mengimport kereta asing dan 40.1% daripada 68,330 AP masing-masing pada tahun 2004 dan tahun 2005, hanya diberikan kepada empat (4) individu.


Kesan Pandemik COVID-19

COVID-19 telah menghalang pembangunan agenda Bumiputera dan memerlukan Kerajaan untuk mengatur semula strategi mengikut keperluan. Langkah menuju pendigitalan adalah tepat pada masanya dan sejajar dengan trend pasaran dalam era pandemik yang memerlukan penyelesaian kreatif terutamanya dalam aspek perhubungan fizikal apabila interaksi fizikal terpaksa dibataskan.