Kesenjangan Sosioekonomi

Kesenjangan sosioekonomi dari segi pendapatan dan pengagihan kekayaan masih menjadi cabaran terutamanya bagi golongan Bumiputera. Kesenjangan pendapatan isi rumah kumpulan T2003 dan B40 telah meningkat sejak 30 tahun yang lalu di antara tahun 1989 hingga tahun 2019 akibat daripada kepelbagaian pembangunan sosioekonomi. Perbezaan kumpulan pendapatan isi rumah 20% (T20) teratas dan kumpulan pendapatan isi rumah bawah 40% (B40) meningkat sejak 30 tahun yang lalu. Purata pendapatan bulanan kumpulan T20 berbanding B40 meningkat 527% daripada RM1,935 pada tahun 1989 kepada RM12,135 pada tahun 2019.

Selain itu, jurang pendapatan antara isi rumah Bumiputera dan bukan Bumiputera misalnya kaum Cina, turut meningkat pada tempoh yang sama. Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ketidaksamaan purata pendapatan bulanan isi rumah antara Bumiputera dan kaum Cina meningkat hampir empat kali ganda daripada RM497 pada tahun 1989 kepada RM1,971 pada tahun 2019.


Jurang Pendapatan antara Negeri dan Wilayah

Jurang pendapatan ini bukan sahaja berlaku antara kaum bahkan turut berlaku pada peringkat negeri. Analisis menunjukkan negeri dengan majoriti penduduk Bumiputera juga adalah negeri dengan jumlah isi rumah kategori pendapatan B40 tertinggi. Lebih 50% isi rumah di negeri seperti Kelantan, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak berada di dalam kategori B40. Ini turut terbukti melalui tahap pelaburan dan pembangunan yang lebih rendah selama bertahun-tahun di negeri-negeri tersebut berbanding negeri dan bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor, Putrajaya dan Pulau Pinang yang mengalami urbanisasi dan migrasi.

Kebergantungan kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Untuk Sumbangan Ekonomi

Pada tahun 2014, GLC – yang kebanyakannya didominasi oleh Bumiputera – menyumbang 46% GOS kepada KDNK. Walau bagaimanapun, sumbangan sebenar Bumiputera kepada GOS tanpa mengambil kira sumbangan GLC, hanya 28%. Berdasarkan GOS korporat nasional berjumlah RM727 bilion, hanya RM81 bilion adalah sumbangan perusahaan Bumiputera. Jumlah ini menggambarkan jurang yang wujud antara Bumiputera dan bukan Bumiputera, sehingga mewujudkan jurang monopoli dan ekonomi pada tahap yang membimbangkan.


Pemilikan Ekuiti

Menurut laporan WKB2030, sasaran 30% pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) belum dapat dicapai. Walaupun pelbagai usaha dan inisiatif dilakukan, Bumiputera masih ketinggalan sejak 50 tahun yang lalu. Bumiputera juga turut bersaing dengan pemilikan ekuiti asing yang meningkat lebih sedekad yang lalu. Ini terbukti melalui pemilikan ekuiti sektor korporat Bumiputera yang mencatatkan penurunan daripada 22% pada tahun 2008 kepada 17.2% pada tahun 2019, berbanding pemilikan asing dan nomini masing-masing telah meningkat daripada 38% dan 3% pada tahun 2008 kepada 45% dan 12.3% pada tahun 2019.

Pemilikan Aset Bukan Kewangan dalam Pasaran Komersial dan Industri yang Minimum

Jumlah urus niaga aset bukan kewangan Bumiputera masih berada di tahap yang rendah terutamanya bagi pemilikan aset komersial dan perindustrian. Urus niaga aset bukan kewangan Bumiputera hanya mewakili 33% daripada keseluruhan urus niaga aset bukan kewangan pada tahun 2018 untuk pasaran utama dan sekunder; sebahagian besar disumbang oleh pemilikan aset kediaman. Pemilikan kekayaan Bumiputera untuk aset komersial hanya 12% dan industri pula hanya 6%.


Pandemik COVID-19

Pandemik COVID-19 telah menimbulkan pelbagai cabaran ekonomi yang mempengaruhi kesejahteraan rakyat Malaysia secara amnya. Kenaikan kos sara hidup berbanding dengan kuasa beli yang rendah, kurangnya perlindungan sosial, dan pendidikan kewangan yang lemah dalam kalangan Bumiputera telah menyebabkan bebanan besar. Pemberhentian kerja yang disebabkan oleh pandemik telah menyebabkan kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 4.6% pada April 2021, berbanding 3.3% pada Februari 2020 sebelum kita berhadapan dengan cabaran pandemik. Cabaran-cabaran ini tidak hanya memerlukan rancangan jangka masa panjang yang komprehensif tetapi juga mewujudkan desakan untuk menilai semula pelaksanaan inisiatif yang sesuai bagi situasi dan masalah global semasa.