Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030)

“TPB2030 akan menjadi asas kepada inisiatif mempercepat pembangunan sosioekonomi Bumiputera. Disokong oleh struktur tadbir urus menyeluruh dilengkapi dengan kaedah pelaporan dan pemantauan bersistematik dan bersepadu, ia akan menyokong tujuh (7) Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA), tujuh (7) Bidang Keutamaan (PA) dan tiga (3) Bidang Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETA) yang ditetapkan.”

Inisiatif 1

Pembangunan Program TPB2030

RM23.10juta

Pembiayaan

TERAJU sebagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri telah diberi mandat untuk melaksana dan menyelaras agenda Bumiputera seperti yang digariskan di dalam TPB2030, hala tuju 10 tahun yang akan menjadi kesinambungan kepada Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR1.0) dan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 (BETR2.0). Melangkah ke hadapan, TERAJU akan menjadi penyelaras utama penyampaian TPB2030 dengan memberi tumpuan kepada tujuh (7) KEGA dan tujuh (7) PA dan tiga (3) BETA yang mendukung matlamat yang digariskan di bawah WKB2030 dan RMKe-12 untuk mempercepat pembangunan sosioekonomi Bumiputera.