Kekurangan Pensijilan Halal

Walaupun permintaan untuk produk dan perkhidmatan Halal terus berkembang, hampir 90% PKS Bumiputera dilaporkan beroperasi tanpa pensijilan Halal. Ini mungkin disebabkan oleh kos perkhidmatan perunding bebas yang tinggi sebelum sijil halal dikeluarkan JAKIM. Upah rundingan bergantung kepada saiz perniagaan dan boleh mencecah sekitar RM3,000 sehingga RM25,000.


Amalan Keagamaan dan Kebudayaan yang Mewujudkan Piawaian Halal yang Berbeza antara Negara

Bertitik tolak daripada perbezaan geografi dan budaya, orang Islam di seluruh dunia menerima pakai konsep Halal yang berbeza. Kekeliruan ini semakin bertambah disebabkan kekurangan pengiktirafan bersama antara 300 badan pensijilan Halal di seluruh dunia. Piawaian Halal yang jelas, seperti pengharaman alkohol dan bahan haram dalam beragama, juga menyebabkan perbezaan pandangan tentang ketepatan jumlah penggunaan yang dibenarkan. Misalnya penggunaan alkohol dalam vaksin diharamkan di beberapa negara tetapi dibenarkan dalam jumlah tertentu di negara lain. Malah ada ulama Islam yang berpandangan penggunaan alkohol hanya
dibenarkan sebagai pemangkin, tetapi tidak boleh wujud dalam produk akhir.


Salah Guna Pensijilan Halal

Kes terbaru berlaku di Malaysia telah mendedahkan kelemahan dalam ketulenan pensijilan Halal. Ia berkaitan dengan perubahan atau penggunaan secara tidak sah logo Halal. Antara tahun 2011 dan tahun 2015, JAKIM memfailkan 120 kes salah guna logo Halal. Tambahan lagi, siasatan ke atas produk makanan tidak boleh dilakukan dengan mudah selepas ia menjalani proses pembungkusan.


Proses Pembuatan Vaksin Patuh Syariah yang Rumit dan Mahal

Dalam sektor farmaseutikal Halal, proses pembuatan vaksin baharu adalah rumit dan mendatangkan cabaran besar untuk penglibatan PKS Bumiputera. Daripada pengeluaran berskala kecil dalam makmal kepada pengeluaran berskala besar, vaksin baharu boleh mengambil masa antara sembilan (9) sehingga sebelas (11) tahun untuk dibangunkan. Selain itu, memandangkan peraturan ketat untuk pematuhan Syariah, kos pengeluaran adalah tinggi. Misalnya, untuk menubuhkan kemudahan patuh Syariah, dalam kes tertentu, kosnya boleh mencecah sehingga ASD750 juta (RM3.3 bilion). Kos logistik juga bertambah, kerana vaksin Halal perlu dipindahkan secara berasingan daripada produk tidak Halal.


Kekurangan Pakar PKS Bumiputera untuk Menjadi Peneraju dalam Farmaseutikal Halal

Buat masa ini, majoriti ubat-ubatan bernilai tinggi seperti antibodi dan vaksin monoklonal dihasilkan menerusi kaedah penukaran bio. Proses pembuatan menggunakan sel dan serum mamalia untuk kultur sel, juga bercanggah dengan prinsip pembuatan Halal. Pada masa yang sama, PKS Bumiputera juga kekurangan ilmu pengetahuan saintifik farmaseutikal untuk menghasilkan bahan alternatif untuk memenuhi keperluan pengiktirafan Halal.