TPB2030 Ringkasan Eksekutif

29 TPB2030 adalah satu hala tuju baru demi memastikan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif dalam kalangan Keluarga Malaysia. Ini meliputi semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan di mana ia menjadi batu asas utama kepada pembentukan TPB2030. Dengan itu, TPB2030 adalah penzahiran komitmen berterusan Kerajaan untuk menyediakan tahap sosioekonomi yang seimbang, saksama dan terangkum; dengan agenda Bumiputera memainkan peranan terpenting. TPB2030 beriltizam untuk meningkatkan pendapatan penengah isi rumah Bumiputera dan pemilikan kekayaan bagi membolehkan Bumiputera terlibat secara proaktif menempuh dinamik ekonomi semasa. Langkah yang diambil akan memberi penekanan kepada menambah baik perkhidmatan penyampaian dan melengkapi mekanisma pelaporan, pembangunan sumber manusia menerusi penambahbaikan kemampuan dan keupayaan serta penyuburan daya tahan perusahaan Bumiputera. Kekayaan Bumiputera akan dijana menerusi pemilikan aset bukan kewangan, serta pemilikan ekuiti korporat. Usaha ini akan berpaksikan pendekatan holistik bagi mencapai matlamat TPB2030 dengan menyelaras KEGA dengan PA yang dikenal pasti, seterusnya dengan BETA. TPB2030 dibentuk ketika ekonomi global diuji oleh ketidaktentuan yang tidak pernah wujud sebelum ini. Maka, program pembangunan dan inisiatifnya telah mempertimbang kebolehlenturan yang diperlukan supaya TPB2030 dapat terus meningkatkan keadaan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera pada semua peringkat pendapatan walaupun berdepan dengan pelbagai halangan. Ini akan menjadi asas pembinaan semula ekonomi sejajar dengan RMKe- 12 bagi pemulihan daripada pandemik dan seterusnya memacu pertumbuhan Bumiputera. Pada akhirnya, TPB2030 bermatlamat untuk membina semula ekonomi menerusi pemacuan pertumbuhan Bumiputera; dengan Bumiputera bebas daripada ketidakpastian dan menjadi sebuah masyarakat yang berdaya saing, mampan dan makmur seperti yang diaspirasikan oleh Keluarga Malaysia.

RkJQdWJsaXNoZXIy NDI1NzQx